Penyakit sawan semasa mengandung

by fazidah on December 17, 2008

Salam ceria semua :)

Hari ini saya ingin berkongsi artikel dari Utusan Malaysia berkenaan penyakit sawan yang dihidapi oleh sesetengah wanita dan langkah-langkah untuk menjaga diri dan kandungan sewaktu mengandung. Kita ikuti artikel berikut :

Kebanyakan ibu-ibu yang mempunyai penyakit sawan, juga dikenali sebagai epilepsi, boleh mengandung normal dan seterusnya melahirkan zuriat yang sihat. Namun begitu, penyakit sawan ini mempunyai risiko semasa mengandung, lazimnya puan sudah pun tahu yang puan menghidapi penyakit sawan dan dengan utuh dalam perhatian pakar perubatan dalaman/pakar neurologi. Doktor-doktor ini akan menasihati puan sebelum, semasa dan juga selepas bersalin.

Di hospital peringkat termaju seperti Hospital USM, puan akan menjalani pemeriksaan mengandung di klinik antenatal berkongsi dengan doktor pakar perubatan. Mereka memberikan penjagaan perubatan serta obstetrik yang optimum supaya kesejahteraan puan serta janin selamat serta tidak berkomplikasi.

Artikel ini akan membimbing puan ke arah,

1. Penjagaan sebelum mengandung.

2. Risiko yang mungkin pada puan serta janin.

3. Perawatan semasa mengandung.

Penyakit sawan dan wanita

Sel saraf di otak menjanakan isyarat berelektrik dalam penghantaran maklumat ke seluruh anggota badan. Maklumat ini bertanggungjawab dalam pengendalian fungsi serta pergerakan badan. Mereka yang mempunyai penyakit sawan, pengendalian serta pengawasan fungsi ini terganggu, langsung memberikan manifestasi dari segi kelakuan, kekejangan otot-otot dan juga sawan.

Hormon wanita iaitu estrogen dan juga progesteron boleh memberikan kesan pada keabnormalan sawan. Sebarang perubahan di antara hormon-hormon tersebut memungkinkan peningkatan ataupun penurunan frekuensi serangan sawan. Mungkin juga pola serangan sawan berubah semasa mengandung dan juga seawal selepas bersalin.

Ubat antisawan/antiepilepsi dapat mengawal serangan sawan, doktor mungkin terpaksa preskripsi beberapa kategori antisawan sebelum ubat yang paling sesuai untuk puan ditetapkan.

Persedian untuk mengandung

Kadangkala ubat antisawan dikurangkan secara perlahan-lahan sekiranya sejarah kesihatan puan tidak ada kehadiran serangan sawan untuk 2 tahun atau lebih. Mungkin juga doktor tidak mengesyorkan penurunan dos antisawan, mungkin ubat puan akan ditukar pada ubat antisawan jenis lain. Walaubagaimanapun, puan dinasihatkan supaya memberitahu doktor akan niat untuk mengandung seawal mungkin. Sesetngah ubat membahayakan janin, walaubagaimanapun, serangan sawan lebih merbahaya pada puan serta janin. Pakar perbidanan dan juga pakar perubatan dalaman /neurologi akan berusaha menyelesaikan mencari dos optimum yang bersesuaian, jenis ubat yang selamat dan menghindarkan serangan sawan semasa mengandung.

Ubat antisawan ini memberikan kesan pada penggunaan asid folik oleh badan. Ketidakcukupan asid folik boleh mencacatkan janin. Oleh itu dinasihatkan walaupun tidak berniat untuk mengandung, pengambilan asid folik perlu dilakukan setiap hari.

Sebanyak 0.4 mg asid folik perlu diambil setiap hari sebelum mengandung dan juga semasa tiga bulan mengandung untuk mengurangkan insiden kecacatan janin. Pakar pemakanan di hospital, jika di HUSM, mereka ditempatkan di klinik dietitik, boleh membantu puan dalam pengambilan makanan tempatan yang kaya dengan asid folik.

Risiko pada wanita

Kekerapan serangan berubah semasa mengandung, ada yang menjadi lebih kerap, ada juga yang seperti sebelumnya dan ramai pula yang menjadi lebih selesa. Paras ubat antisawan dalam darah puan perlu diamati sekiranya serangan semakin kerap. Disebabkan perubahan ketara fisiologi badan semasa mengandung, perubahan hormon dan juga perubahan terhadap metabolisma badan terhadap ubat, ujian darah diperlukan untuk menentukan keberkesanan dos ubat antisawan yang diberikan.

Risiko pada bayi

Secara keseluruhan, risiko untuk mendapat bayi yang cacat dalam populasi adalah sekitar 2-3%, tetapi dengan penyakit sawan, nilai ini bertambah menjadi sekitar 6-8%. Risiko ini juga berkait dengan jenis ubat antisawan yang digunakan. Di antara jenis-jenis lazim kecacatan bayi adalah seperti:

1. Sumbing bibir serta lelangit pada mulut.

2. Keabnormalan tiub neural, contohnya spina bifida.

3. Bayi yang rendah berat kelahirannya

4. Kepala kecil

5. Ketandusan dari segi tumbesaran serta perkembangan.

6. Terencat mental

7. Masalah pembekuan darah

8. Masalah sawan pada masa hadapan.

Kelahiran

Kelahiran secara normal dibolehkan, kelahiran secara pembedahan hanya apabila pemasalahan obstetrik timbul.

Jagaan selepas bersalin

Perubahan fisiologi badan puan selepas bersalin ke arah sebelum mengandung mengharuskan pertukaran dos dan jenis ubat antisawan yang digunakan. Ubat antisawan ini juga boleh menganggu paras hormon di badan puan. Ini memberikan kesan keberkesanan pada kaedah perancangan keluarga. Mungkin kaedah berlandaskan hormon menjadi kurang berkesan dan perlu diiringi dengan penggunaan metoda lain seperti kondom, ubat pembunuh sperma dan sebagainya.

Sejurus kelahiran, bayi akan disuntik dengan vitamin K, ini adalah kerana paras vitamin K yang kurang dengan penggunaan ubat antisawan. Vitamin K membantu dalam sistem pembekuan darah.

Penyusuan badan dibenarkan. Hanya sedikit sahaja paras ubat antisawan terdapat dalam susu badan. Walau bagaimanapun, ketetapan ini akan ditentukan oleh doktor yang merawat puan.

Petikan dari Utusan Malaysia (22/6/2008)

Penulis : Prof Madya Dr Shah Reza Johan Noor (HUSM Kelantan)

Harap artikel diatas memberi manfaat ;)

Kak Faz

Penyakit sawan semasa mengandung by

{ 0 comments… add one now }

Leave a Comment

Current ye@r *

CommentLuv badge

Previous post:

Next post: