Ibu Hamil Jangan Paksa Diri Untuk Berpuasa Jika Anda Ada 8 Tanda Ini

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Tempoh kehamilan yang memakan masa 9 bulan memungkinkan ramai wanita Muslim yang mengandung akan melewati bulan Ramadhan semasa hamil.

Mengikut mazhab Imam Syafie, sekiranya dikhuatiri dengan berpuasa itu akan memudaratkan ibu atau bayi atau kedua-duanya, ibu tersebut diwajibkan berbuka. Puasa itu boleh diganti di kemudian hari.

Walau telah diberi kelonggaran oleh agama, 70% daripada wanita Muslim yang hamil memilih untuk berpuasa dalam bulan Ramadhan.

Wanita hamil yang berpuasa mungkin mengalami kesan sampingan seperti hipoglisemia (paras glukosa dalam darah yang lebih rendah daripada normal), ketosis dan dehidrasi.

Risiko ini dikatakan meningkat jika berpuasa di awal kehamilan (trimester pertama) kerana biasanya pada fasa ini banyak berlaku komplikasi kehamilan yang kurang menyenangkan.

Oleh itu, doktor-doktor tidak menggalakkan ibu-ibu yang berada pada fasa pertama kehamilan untuk berpuasa.

Apa-apa pun berbincang dahulu dengan doktor anda jika anda boleh berpuasa ataupun tidak.

Di sini terdapat beberapa tanda ibu mengandung patut berbuka dan tidak meneruskan puasa ketika hamil.

1. Morning Sickness Yang Teruk

Wanita yang berada pada awal fasa kehamilan ada kalanya mengalami masalah morning sickness yang teruk. Jika keadaan berlarutan sehingga menyebabkan kekurangan tenaga maka disarankan berbuka sahaja.

Hal ini kerana apabila sudah muntah-muntah, tenaga dari makanan yang diambil hilang dan boleh menyebabkan mudarat pada janin.

2. Diabetes atau GDM

Menurut Malaysian Medical Gazette, wanita mengandung yang mengalami Diabetes Jenis I, II dan Gestasi perlulah berbincang dengan Pakar Perubatan dan Pegawai Dietetik berkenaan ubat dan diet yang sesuai semasa berpuasa.

Sekiranya tidak memerlukan rawatan metformin atau insulin, boleh berpuasa jika boleh terus mengawal bacaan gula di dalam darah pada bulan puasa.

Masalahnya bukanlah bacaan gula semasa berpuasa tetapi bacaan gula yang tinggi melambung selepas berbuka, sebelum sahur dan selepas sahur.

Jadi selalu pantau bacaan gula anda, anda boleh mengambil bacaan 2 jam selepas makan untuk pastikan gula tidak naik secara mendadak.

JIka ia naik mendadak anda di galakkan untuk tidak berpuasa dan mula mengawal pengambilan makanan anda semula.

3. Demam, Rasa Sejuk, Lemas, Mengigil dan Berpeluh

Jangan paksa diri untuk puasa ketika hamil sekiranya para ibu mempunyai masalah kesihatan seperti demam. Situasi lain yang perlu diambil berat oleh ibu hamil ialah apabila mengalami hypoglysemia iaitu kandungan gula dalam darah rendah.

Jika badan mula berasa lemas, menggigil, berpeluh dingin dan pandangan kabur, maka dinasihatkan untuk berbuka puasa.

Adalah dinasihatkan juga untuk berbuka jika badan mengalami dehidrasi dengan simptom berpeluh dingin dan cirit- birit.

4. Pengambilan Ubat

Sekiranya pengambilan ubat perlu dipatuhi untuk elakkan kemudaratan pada janin, adalah lebih baik untuk tidak berpuasa terlebih dahulu.

Namun sekiranya kesihatan anda normal dan ingin cuba untuk puasa ketika hamil, dapatkan pendapat daripada doktor untuk pengambilan dos yang lebih tepat sepanjang waktu berpuasa.

5. Ibu Menyusu / Tidak Menyusu Yang Masih Dalam Pantang

Bagi ibu menyusu terutamanya yang masih berpantang atau baru lepas berpantang, minta nasihat daripada doktor untuk pengurusan kesihatan yang baik dan pastikan doktor memberi ‘green light’ untuk berpuasa.

6. Susu Badan Kurang Dengan Mendadak

Apabila anda telah mencuba pelbagai ikhtiar tetapi susu badan tetap berkurangan dengan mendadak sewaktu berpuasa, anda dicadangkan untuk berbuka puasa demi kebaikan bayi.Lebih-lebih lagi sekiranya bayi bergantung 100% pada susu badan sebagai diet utamanya ketika itu.

Dalam Islam juga, selain wanita mengandung wanita menyusu juga diharuskan berbuka puasa.

7. Bayi Kurang Bergerak

Jika pergerakan janin berkurangan (selepas 28 minggu kehamilan), hendaklah berbuka puasa dan terus ke hospital untuk penilaian CTG dan ultrasound untuk menilai pembesaran janin.

8. Hampir Dengan Tarikh Bersalin

Melahirkan anak memerlukan banyak tenaga di bilik bersalin nanti. Oleh itu, ibu mengandung dinasihatkan untuk tidak berpuasa ketika sudah hampir ‘due date’.

Persiapkan diri secukupnya dari segi mental dan fizikal untuk menghadapi waktu melahirkan anak nanti.

Berpuasa atau tidak, ibu hamil perlu menitikberatkan kesihatan bagi kebaikan diri dan anak dalam kandungan.

Lebihkan pemakanan yang berkhasiat dan minum air secukupnya bagi kesihatan menyeluruh.

Elakkan dari pengambilan makanan bergula dan bergaram dengan banyak.

Harap perkongsian ini bermanfaat untuk semua.

Wasalam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.