Urut tak dapat betulkan uri - Ibu alami plasenta previa mahu
lakukan sengkak selepas pembedahan Cesarean (petikan dari Harian Metro)
SAYA berusia 34 tahun dan
mempunyai empat anak. Semasa hamil anak keempat pada 2006, saya menghadapi
plasenta previa type I/II dan saya bersalin secara pembedahan.
Untuk pengetahuan doktor,
ketiga-tiga anak sebelum ini bersalin secara normal. Persoalannya, bolehkah
sengkak dilakukan seperti mana lazimnya dibuat selepas bersalin normal sebelum
ini?
Bagaimana untuk mengelakkan
berlakunya plasenta previa? Adakah ia boleh dilakukan secara urutan?
UMI
Kajang, Selangor
UNTUK makluman umum, plasenta
previa adalah nama perubatan untuk keadaan uri di bawah. Pada awal ketibaan
embrio dari tiub falopio ke dalam ruang rahim, saiznya amat kecil berbanding
saiz ruang rahim.
Embrio ini kemudian akan melekat
pada mana-mana bahagian atau permukaan terdalam dinding rahim ini, proses ini
dinamakan implantasi.
Embrio ini kemudiannya akan
berkembang lanjut dan membahagi kepada janin dan uri manakala selaputnya
membentuk selaput ketuban (membran amnion). Titik atau lokasi perlekatan embrio
inilah yang menentukan kedudukan uri.
Cuma dengan berlakunya
pembentukan segmen bawah dinding rahim selebar kira-kira lima sentimeter (sm) yang berlaku selepas
minggu ke-28 kehamilan, ia memberi peluang untuk uri yang berada pada kawasan
bawah ini untuk seolah-olah dianjakkan ke atas.
Peluang ini bergantung kepada
sejauh mana lokasi uri berada di bawah. Jika hanya sebahagian saja yang berada
di bahagian bawah, kemungkinan untuk ia 'naik' ke segmen atas lebih tinggi.
Sebaliknya, jika berada
betul-betul di bahagian bawah, ia lebih berkemungkinan untuk kekal di segmen
bawah.
Plasenta previa tidak mempunyai
punca. Tidak ada faktor mempengaruhi embrio awal ini melekat di mana-mana
bahagian permukaan dinding rahim. Namun, secara kajian plasenta previa didapati
lebih kerap berlaku pada keadaan berikut:
- Pernah menjalani pembedahan
Cesarean.
- Kehamilan kerap. Ia kurang
berlaku dalam kehamilan pertama.
- Usia meningkat. Ini mungkin
berkait dengan kemungkinan wanita ini pernah menjalani pembedahan atau kerap
hamil.
- Kehamilan kembar (saiz uri
lebih besar).
- Pernah mengalami plasenta
previa dalam kehamilan sebelumnya.
- Pernah menjalani prosedur
D&C
- Merokok
- Kedudukan uri pada awal
kehamilan seawal 15 minggu (tiga setengah bulan) kehamilan. Sekiranya ia
didapati berada melangkaui lingkungan satu sentimeter dari pintu rahim interna,
ia lebih berisiko untuk kekal sebagai plasenta previa.
Uri tidak seperti janin, uri
tidak boleh bergerak sendirinya atau digerakkan. Uri yang berbentuk seperti
piring berdiameter selebar sekitar 20 sm ini melekat keseluruhannya pada
permukaan dinding rahim sepanjang kehamilan sehinggalah setelah lahirnya bayi.
Ramai wanita membuat salah
tanggapan bahawa plasenta previa boleh dibetulkan kedudukannya atau dielakkan.
Berurut juga tidak dapat membetulkan kedudukan uri.
Berurut mungkin dapat mengubah
kedudukan janin memandangkan janin boleh berpusing atau bergerak tetapi ini
juga mendedahkan anda dan bayi kepada komplikasi bahaya.
Berurut secara perubatan moden
ada dilakukan untuk membetulkan kedudukan janin tetapi prosedur ini dilakukan
dalam keadaan ibu dan doktor serta kakitangan hospital bersedia untuk
menghadapi kemungkinan pembedahan Caesarean terpaksa dilakukan serta-merta.
Dengan penerangan di atas, anda
mungkin dapat lebih memahami bahawa plasenta previa tidak boleh dielakkan
melainkan anda membuat keputusan untuk tidak hamil lagi.
Anda juga lebih terdedah kepada
risiko plasenta previa memandangkan anda lebih berusia sekarang, kehamilan
berikutnya adalah kehamilan kelima (disebut multipara), pernah mengalami
plasenta previa dan pernah menjalani pembedahan Cesarean.
Sengkak sewaktu berpantang
dilakukan berdasarkan andaian rahim terjatuh daripada tempat asalnya dan perlu
dinaikkan semula. Ini mungkin ada logiknya jika rahim pada asalnya berada dalam
kawasan atau takuk tertentu pada ruang pelvis, namun sebenarnya ia tidak.
Bahagian tertentu rahim dipegang
oleh struktur berotot dan berligamen yang kemudian melalui tekanan atau trauma
pemanjangan sewaktu hamil serta tekanan meneran kelahiran.
Trauma ini boleh menyebabkan
rahim jatuh sedikit atau lebih teruk sehingga kelihatan terjulur keluar dari
faraj. Berurut sewaktu berpantang bagaimanapun dapat memberi kelegaan serta
sokongan moral oleh bidan yang juga menjadi teman berbual mengenai panduan
penjagaan diri dan keluarga.
Lazimnya bidan akan mengelakkan
kawasan perut sewaktu mengurut wanita bersalin pembedahan, ia lebih kepada
anggota lain seperti tangan dan kaki serta bahu.
Selepas tempoh berpantang,
kebiasaannya luka pembedahan sembuh sepenuhnya, namun ada juga yang mengambil
masa sehingga tiga hingga empat bulan.
Sebelum berurut, anda
dinasihatkan membuang air kencing terlebih dulu agar tidak berlaku trauma pundi
kencing akibat tekanan urutan terbabit. Kes pundi kencing pecah selepas berurut
juga pernah berlaku dan memerlukan pembedahan kecemasan untuk membaikinya.
|