Bersalin Secara Pembedahan - Kesan & risikonya
(dipetik dari Utusan Malaysia)
DALAM keadaan tertentu, bagi kaum
wanita yang tidak dapat melahirkan bayi melalui proses biasa, kemungkinan
terpaksa menjalani pembedahan cesarean. Ini kerana kaedah ini merupakan
alternatif terbaik untuk ibu dan bayi yang bakal dilahirkan. Meskipun kaedah
ini mempunyai komplikasi empat kali ganda lebih tinggi daripada proses
kelahiran biasa, namun dalam keadaan tertentu ia perlu bagi menyelamatkan nyawa
ibu dan anak dalam kandungan.
Pakar Perunding Obstetrik dan
Ginekologi Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) Dr. Mohd. Hashim Omar
memberitahu, dalam apa juga bentuk rawatan risiko untuk komplikasi sukar untuk
dielakkan. ''Walaupun kematian ibu melalui pembedahan cesarean amat jarang
berlaku, namun perbandingan peratusan jumlah kematian ibu yang bersalin secara
biasa berbanding jumlah kematian pembedahan cesarean, risikonya lebih
tinggi,'' katanya.
Namun, sesetengah kematian lebih
berkait dengan penyakit yang dihidapi oleh pesakit itu sendiri berbanding
berpunca daripada pembedahan tersebut secara langsung. Kata beliau,
risiko-risiko lain seperti jangkitan kuman dan komplikasi yang berkaitan adalah
jauh lebih tinggi berbanding bersalin secara biasa.
Dr. Mohd. Hashim memberitahu,
bagi ibu-ibu yang menghidapi penyakit-penyakit tertentu pembedahan cesarean
mungkin tidak dapat dielakkan. Menurut beliau, sekiranya terdapat bahaya
kemungkinan ibu-ibu yang menghidap penyakit tertentu bersalin dengan proses
biasa, pembedahan cesarean diperlukan. ''Contohnya penyakit darah tinggi yang
teruk semasa hamil atau keadaan bayi yang tidak sihat dalam kandungan.
''Sekiranya proses kandungan ini diteruskan sehingga sembilan bulan ia mungkin
membahayakan kesihatan ibu dan anak, justeru pembedahan cesarean diperlukan,''
katanya.
Mengimbas sejarah pembedahan ini,
ia bermula dalam sejarah Mesir pada tahun 3000 Sebelum Masihi. Bagaimanapun,
kaedah ini yang dikenali sebagai Lex Caesare sejak tahun 715 Masihi, merupakan
salah satu undang-undang Roman.
Undang-undang ini mewajibkan
bahawa pembedahan dilakukan untuk mengeluarkan bayi dari ibu hamil yang baru
meninggal dunia kerana mayat-mayat ini perlu dikebumikan berasingan. Namun,
secara amnya pembedahan ini jarang digunakan untuk menyelamatkan nyawa anak.
Pembedahan cesarean pertama yang
berjaya menghasilkan ibu dan bayi hidup pada tahun 1500 di
Switzerland. Kes ini agak pelik
kerana sebelum ini pembedahan caesarean biasanya dilakukan sebagai usaha
terakhir bagi membantu proses kelahiran. Ini kerana pembedahan ini mempunyai
komplikasi yang terlalu tinggi berikutan kematian ibu selepas bayi dilahirkan.
Menurut beliau, pada akhir 1700
dan awal 1800 terdapat rekod menyatakan pembedahan cesarean dilakukan untuk
mereka yang menghadapi kesukaran bersalin. Hakikatnya, pembedahan ini bertujuan
untuk menyelamatkan nyawa ibu dan anak dalam kandungan setelah ibu terbabit
berhari-hari menanggung kesakitan namun kadar kejayaannya terlalu rendah.
Peratus kejayaan bayi yang dilahirkan hidup terlalu rendah kerana pembedahan
ini sering menggadaikan nyawa ibu.
Namun, selepas penemuan
antiseptik dan anti-biotik bagi melawan kuman, kaedah-kaedah berhubung
pembedahan, kadar kematian ibu menurun dengan mendadak.
Dr. Mohd. Hashim memberitahu,
berdasarkan legenda Julius Caeser, beliau dilahirkan melalui pembedahan
cesarean pada tahun 100 Sebelum Masihi. Justeru, nama beliau diambil sempena
kaedah pembedahan tersebut.
APAKAH YANG DIMAKSUDKAN
PEMBEDAHAN CESAREAN?
Pembedahan cesarean merupakan
satu pembedahan yang melibatkan beberapa lapisan pada dinding perut wanita.
Lapisan kulit, lapisan-lapisan otot dan dinding rahim dibuka bagi membolehkan
bayi dilahirkan melalui pembedahan tersebut.
Pembedahan caesarean terbahagi
kepada dua iaitu:
* IRISAN MELINTANG - atau lebih
dikenali sebagai lower segment cesarean di mana irisan dinding rahim dilakukan
pada bahagian bawah rahim.
* PEMBEDAHAN KLASIKAL - irisan
dilakukan menegak pada rahim.
Bagaimanapun, irisan melintang
merupakan pilihan hingga kini kerana ia dapat mengurangkan kadar pendarahan, di
samping menurunkan risiko rahim pecah pada kandungan yang seterusnya. Namun,
pembedahan klasikal hanya diperlukan untuk kes-kes tertentu kerana ia
meningkatkan risiko kehilangan darah, jangkitan kuman, rahim pecah pada
kandungan yang seterusnya boleh menyebabkan kematian ibu dan anak.
Menurut Dr.
Mohd. Hashim, sejak tahun
1960- an pembedahan cesarean meningkat kerana ia merupakan salah satu langkah
untuk menyelamatkan nyawa ibu dan anak. Pada masa yang sama, pembedahan ini
semakin popular apabila timbulnya kesedaran berhubung perancang keluarga.
''Dengan penurunan kadar kelahiran, sesetengah golongan lebih menumpukan
kesihatan bayi dalam kandungan,'' katanya. Tambahnya, dengan kaedah bius dan
pembedahan ramai yang beranggapan bahawa pembedahan ini sesuatu yang selamat
dan mudah walaupun tanpa satu alasan kurang jelas.
Namun, ramai yang beranggapan
mereka yang pernah menjalani pembedahan ini perlu menjalani pembedahan yang
sama untuk kelahiran seterusnya.
Sebenarnya, ia bergantung kepada
keadaan ibu dan anak dalam kandungan, sekiranya tiada risiko yang berulang
pesakit tidak perlu menjalani pembedahan caesarean. Dr. Hashim memberitahu,
biasanya doktor akan memaksimumkan menjalani hingga tiga kali pembedahan bagi
mengelakkan risiko kecederaan pada organ berhampiran seperti pundi kencing,
usus dan sebagainya.
Bagaimanapun, wanita yang pernah
melahirkan anak secara cesarean sebelum ini dan bercadang untuk melahirkan
anak secara biasa, dinasihatkan supaya mendapatkan pemeriksaan dan rawatan
tetap di hospital-hospital yang mempunyai kelengkapan lengkap.
FAKTOR PEMBEDAHAN CESAREAN
* Tali pusat keluar dahulu semasa
air ketuban pecah ~ Tali pusat ini akan turun perlahan-lahan ke dalam saluran
faraj, keadaan menurunkan beka oksigen pada bayi menyebabkan bayi bernafas
dalam peranakan. Keadaan ini boleh menyebabkan kematian bayi dalam kandungan,
justeru pembedahan kecemasan cesarean diperlukan.
* Uri di bawah (placenta praevia)
~ Uri berada di bawah daripada bahagian bayi pada pembukaan rahim. Sekiranya
proses kelahiran biasa berlaku, pendarahan yang banyak akan membahayakan
keselamatan ibu serta anak.
* Tulang punggung dan saiz kepala
bayi tidak sepadan (dispropotion) ~ Keadaan ini akan mengakibatkan proses
kelahiran mengambil masa agak lama tanpa banyak tanda-tanda ia akan berjaya
jika kelahiran biasa berlaku.
* Terdapat tanda-tanda bayi dalam
kandungan lemas dan tidak aktif semasa proses bersalin. ~ Pertumbuhan atau
perkembangan bayi yang terencat atau kadar denyutan jantung bayi yang menurun.
Kedudukan anak yang tidak betul
seperti melintang atau condong (oblique) atau berlaku kelainan presentasi anak
seperti muka, tangan atau kaki semasa pembukaan rahim.
Status kesihatan ibu seperti
hipertensi, diabetes atau sakit jantung.
RISIKO PADA BAYI YANG DILAHIRKAN
Bayi yang dilahirkan melalui
pembedahan ini terutama sebelum ibu merasai sakit bersalin, mengalami masalah
pernafasan lebih tinggi berbanding kelahiran biasa. Keadaan ini ada kaitannya
dengan kesilapan dalam kiraan jangkamasa kandungan.
Justeru, bayi ini dianggap
prematur di mana keadaan ini akan mendedahkan bayi tersebut kepada jangkitan
kuman di paru-paru, masalah penyusuan dan lain-lain lagi yang memerlukan
rawatan di hospital dalam jangka masa panjang.
KESAN PSIKOLOGI PADA IBU
Pembedahan ini boleh menyebabkan
beban psikologi dan fizikal yang lebih tinggi berbanding kelahiran biasa. Ini
kerana keadaan fizikal selepas pembedahan menyukarkan keinginan ibu terbabit
untuk bersama anak yang dilahirkan. Secara tidak langsung, ia boleh menimbulkan
rasa marah, hampa dan tertekan kepada ibu.
Namun, sokongan ahli keluarga
dapat membantu mengurangkan bebanan psikologi ini.
KES-KES YANG MEMERLUKAN
PEMBEDAHAN CESAREAN
Bagi kes-kes tertentu, pembedahan
cesarean merupakan pilihan terbaik yang dapat menyelamatkan nyawa ibu dan anak
dalam kandungan seperti:
* Uri di bawah
* Pendarahan yang banyak pada
peringkat akhir kehamilan.
* Kelahiran tersumbat
* Rahim pecah
* Bayi dalam kandungan terlalu
besar
* Jangkitan kuman herpes pada
kemaluan yang akan menjangkiti bayi sekiranya ia dilahirkan secara biasa
* Tali pusat terkeluar dahulu
(cord prolapse)
|